song

Friday, 20 March 2015

BUKAN SEKALI LAFAZ BAB 1

< Kau Bukan Yang Pertama, Tetapi Yang Terakhir> 
By: CtieyNor

Nur Fitriya merenung jauh lautan pantai yang luas terhampar dihadapannya. Angin kuat menampar-nampar dirinya. Gulungan ombak berpusing-pusing mengikut alunan angin yang bertiup. Suara riuh-rendah kanak-kanak yang berkejaran sesama mereka dihadapannya masih tidak dapat menenangkan hatinya yang galau saat ini.  Setelah lapan tahun berlalu lelaki itu masih lagi mendapat tempat dihatinya. Di mana kesakitan dulu?. Dia merasa seolah-olah kesakitan yang dialaminya dulu terhapus begitu sahaja apabila memandang raut wajah yang tampak tenang sentiasa itu. Namun disebalik ketenangan itu dia tahu, ada keperitan yang mereka pernah alami bersama dan masih lagi terpacar harapan yang menggunung tinggi pada dirinya. Masih berharapkah lelaki itu?.
“ Kak Pah donut RM2, pulut bakar dengan karipap nak seringgit-seringgit erk “. Ucap Nur Fitriya dengan senyuman sambil matanya melilau melihat pelbagai aneka kuih pagi di gerai Kak Pah.
“ Nak campur sekali ke, nak asing-asing ni? “ tanya Kak Pah berserta senyuman juga, tangannya ligat memasukkan donut-donut ke dalam plastik. “ Bila kamu balik Iya ? dah lama tak nampak kamu “.
“ Asing-asinglah Kak Pah. Sampai petang kelmarin Kak Pah, sibuk dengan kerja dipejabat sebab tu jarang-jarang balik sekarang ni. Balik ni pun sebab mak dah bising  lama dah tak balik “. Terang Nur Fitriya sambil matanya melilau-lilau memandang perkarangan kedai Kak pah. Nampaknya kedai kak Pah dah semakin besar sedikit, dahulu hanya satu pintu kini sudah mempunyai tiga pintu. Rezeki, begitu juga dengan rezeki dirinya dan keluargnya kini mampu merasa hidup sedikit senang berbanding dahulu yang agak kedaifan.
 “ Mak kamu rindu tu rindukan anak-anaknyalah. Dah lah kamu hanya tiga beradik saja, Ira belajar jauh, Idlan kerja luar negara macam tak ingat-ingat nak balik kampung halaman sendiri, kamu pulak kerja kat Kuala Lumpur, hah jauh jugak!. Tinggal Mak dengan Abah kamu je kat kampung ni.. tentulah lah teringat anak-anak selalu “. Panjang omelan Kak Pah, tetapi tangannya masih ligat membungkus nasi dan memasukkan lauk-pauk kedalam bungkusan tersebut.
Nur Fitriya hanya tersenyum  mendengar omelan Kak Pah. Jika dahulu keluarganya hidup susah, namun ikatan kasih kasyang kekeluargaannya masih utuh dan erat. Susah payah, senang bersama, tetapi apabila sudah mula mengijak dewasa, masing-masing  mula bermegah dengan kerjaya yang ada, semuanya seakan-akan jauh dari kemesraan dulu. Fadlan atau lebih mesra di panggil Angah Idlan, kini berada di Jerman, selepas tamat belajar tajaan sebuah badan korporat terus menetap di sana bagi menguruskan cawangan syarikat kejuteraan yang menaja pembiayaannya sepanjang empat tahun di sana dan masih tidak mahu pulang-pulang. Dan dia tahu kenapa adik lelakinya merajuk tidak mahu pulang ke Malaysia. Dia hanya mampu berdoa akan terbuka pintu Idlan untuk pulang menjenguk Abah dan Maknya. Duit tiap-tiap bulan bukan ukuran pengubat rindu untuk orang mereka, tetapi keinginan menatap seraut wajah anak lelaki tunggal dalam keluarganya itu adalah satu hajat yang dinanti-nantikan selama lebih enam tahun. Adiknya yang bongsu pula Fazira, kini masih menuntut di Ireland dalam bidang perubatan tahun dua, masih panjang lagi tempoh pengajiannya. Hanya tinggal dirinya saja di Malaysia, itupun tetap masih berjauhan dengan kedua-dua orang tuanya. Akan tetapi, apakan daya tuntutan kerja memaksa dia berkorban.
“ Kak Pah Nasi Dagang tiga bungkus, satu ayam dua lagi lauk ikan “.
Serentak itu kepala Nur Fitriya berpusing ke arah suara yang baru saja membuat pesanan kepada Kak pah. Lamunan terhadap adik-adiknya terus berterbangan di bawa  kabus pagi yang dingin itu. Suara yang lembut dan gemersik itu tak akan mungkin dia lupakan. Suara yang sentiasa berkumandang setiap kali masuk waktu azan di kampungnya itu masih segar menyapa di halwa telinganya. Dia, Luzman Faith Haji Kasim anak tunggal orang kaya pemilik pangkalan di kampung Sungai Dua , Pantai Melawi. Anak kesayangan Hajah Hasnah merangkap Mak Longnya sebelah Maknya. Terpaku dia melihat seraut wajah itu yang jelas tampak lebih matang dan berusia. Jika dulu, raut itu bersih daripada bulu-bulu diwajah tetapi kini bulu-bulu sudah menghiasi muka, dan sedikit kumis di dagu membuat lelaki itu nampak lebih alim di tambahkan lagi dengan kopiah putih di kepalanya. Mungkin baru pulang daripada surau kampungnya.
Luzman Faith nyata terpaku dengan pandangan matanya kini. Adakah ini mimpi atau realiti, Fitriya ada dihadapannya memandangnya dengan penuh rasa ‘sarat’ yang hanya berdua mengerti. Betapa sakit rasa yang hadir ini, yang sudah diluah tetapi tidak dapat memiliki. Sakit ini tidak pernah hilang dalam benak hatinya. Betapa kuat rasa itu bertamu di sudut jiwanya. Sudah berkali-kali dia cuba untuk merdhakan dirinya menerima ketentuan ini, namun hati yang sudah dibalut rasa kasih pada Nur Fitriya tidak dapat meredhakan dengan seikhlas hati. Bersama hati yang galau dan berkecamuk dia menghulurkan senyuman buat gadis dambaannya.
Nur Fitriya menyambut senyuman itu dengan segaris senyuman tawar, masih terasa lagi perbuatan lelaki itu 8 tahun lepas. Walaupun dia tahu, kesakitan itu bukan dengan rela hati Luzman Faith menghadiahikannya. Tetapi sikap lelaki tu yang hanya menurut tanpa membantah membuat dia dijerut rasa pedih dan pilu. Tetapi untuk membenci lelaki sebaik Luzman Faith dia tidak mampu.
“ Kak Pah, Iya balik dululah, dah lama sangat rasanya ni, “ terus saja Nur Fitriya meminta diri. Dicapainya plastik kuihnya di atas meja aneka kuih-muih itu.
“ Urmm.. lama apanya, duduk tak panas punggung pun lagi Iya, “ balas Kak Pah sambil menjerling Iya yang kalut membuka dompetnya. Kisah darjat cinta tidak kesampaian dua pasangan ini tidak asing lagi. Kecoh satu kampung dulu dengan Hajah Hasnah yang menentang cinta dua merpati ini.
“ Takut Mak dengan Abah tunggu lama pulak, nanti Iya datang lain kali, kita borak panjang-panjang erk, “ dalih Nur Fitriya, dia tidak lagi betah duduk di bawah bumbung kedai Kak Pah ini. Mata-mata lain mula memandang dia dan Luzman dengan pandang yang simpati. Duit RM3 dihulurkannya, dengan wajah yang sedikit tertunduk dia melalui dihadapan Luzman Faith.
Luzman Faith mengundur sedikit kebelakang memberi laluan kepada Nur Fitriya. Langkah teratur Nur Fitriya hanya di pandang dengan rasa rindu yang mencengkam segenap hati. Kerusi dihadapnnya ditarik, perlahan-lahan dia melabuhkan duduknya. Kopiah putihnya itu diangkat sedikit, tangan kanannya meraut kepalanya dengan diiringi alunan tasbih Subahanallah beberapa kali,dia cuba mententeramkan jiwa yang mula berkocak kembali. Rupanya rasa itu sentiasa masih ada hingga kini.
Nur Fitriya meraup wajahnya, cuba menghalau pergi peristiwa kelmarin. Kisah dahulu adalah sejarah, kisah hari ini adalah kenyataan yang dia harus hadapi dengan redha. Selipar getah berwarna unggu di hujung kakinya dicapai. Sudah agak lama dia melayan perasaan dihadapan pantai rumahnya ini, hari pun dah semakin gelap ada eloknya dia beransur pulang. Dengan rasa gundah gulana yang masih bersisa, dia mula bangun.
“ Assalamualaikum “. Belum sempat kakinya melangkah, salam dari arah belakangnya mula kedengaran. Suara itu! Tidak perlu dia berpaling kerana dia pasti salam itu adalah milik lelaki itu.


No comments:

Post a Comment